Rashdan Aris Enterprise

Iklan....

Showing posts with label Penternakan. Show all posts
Showing posts with label Penternakan. Show all posts

Monday, April 09, 2012

Kerja-kerja Menaiktaraf Reban Puyuh.

Salam sejahtera untuk semua... Assalammualaikum..

Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi kerana dengan izinnya RAE Agrofarm berjaya juga mendapatkan suntikan dana untuk menjalankan usaha menternak puyuh ini. Semasa permohonan dibuat, RAE Agrofarm memohon sebanyak RM15,000 pada bulan Disember 2011 yang lalu, tetapi agak sedikit terkilan kerana kelulusan yang diberikan hanyalah sebanyak RM3,000 sahaja..

Walaupun rasa agak terkejut dengan keputusan ini, namun RAE Agrofarm tetap bersyukur dan akan cuba berusaha bagi menjayakan usaha penternakan seperti yang dirancang (kalau ikutkan memang tak boleh buat pun)..

Rancangan asal mengikut seperti dalam kertas kerja yang diusulkan nampaknya terpaksa diketepikan dahulu kerana masalah belanjawan yang dihadapi. Plan B terus dibuat dan akan dilaksanakan dengan kadar segera supaya RAE Agrofarm akan dapat melaksanakan rancangan asal seperti yang dirancang terlebih dahulu.

Apapun dengan dana yang diberi dapat jugalah RAE Agrofarm membina bangsal puyuh yang asalnya merupakan bangsal lembu yang tidak dihuni lagi. hehehe... Kerja pertama yang perlu dilakukan adalah menambak tanah di kawasan bangsal yang mana kawasan tersebut asalnya agak rendah dan menakung air.

Kos untuk 2 lori tanah yang digunakan sedah memakan belanja RM180. Upah pekerja memang tak dapatlah.. Terpaksalah pihak RAE Agrofarm melakukan kerja-kerja tersebut dengan sendiri. Jadi untuk peringkat pertama ni kerja menambak tanah dan meratakannya telahpun siap dikerjakan..

Seterusnya kenalah menunggu tanah tersebut betul-betul padat sebelum kerja membuat lantai simen dilakukan. Berikut ialah gambar-gambar yang sempat diambil.. Jom layan..

Asalnya bangsal ni bangsal lembu.. Tapi penghuninya telahpun dikorbankan 4 tahun lepas.. hehe

Tanah yang telah diratakan di dalam bangsal..

Reban mudah alih ini terpaksa ditempatkan sementara disini. Terdapat beberapa induk puyuh dan seekor ibu ayam kampung bersama anak-anaknya yang cute2 yang baru menetas.

Longgokan tanah yang digunakan untuk meninggikan kawasan bangsal.


Pandanga dari hadapan kawasan yang ditambak.

Saturday, April 07, 2012

Perkembangan Terkini RAE Agrofarm

Salam untuk semua pembaca..

Ikuti cerita dan perkembangan terkini RAE Agrofarm dengan klik disini. Saksikan juga gambar-gambar terkini ternakan yang diusahakan.

Wednesday, March 21, 2012

DIY Inkubator = Goreng Pisang Panas.

Salam untuk semua..

Tengok tajuk je dah semacam.. Inilah cerita terbaru RAE, sejak menggunakan inkubator buatan sendiri yang berjaya menetaskan telur-telur puyuh dan ayam kampung, ramai la pula rakan-rakan yang minta tolong buatkan inkubator yang sama untuk mereka. Ada yang nak bersaiz kecil, ada juga yang nak bersaiz besar.. Sehinggakan ada saudara mara mereka juga yang turut sama menempah inkubator ni.

Untuk tidak menghampakan permintaan orang, saya pun buatkanlah untuk mereka dan dijual dengan harga yang agak berpatutan. Nak jual mahal-mahal pun tak sampai hati.. yang nak guna pun untuk suka-suka je.. jadi saya pun buatkan jelah untuk mereka. Minggu lepas je dah 2 buah tempahan yang saya terima. Minggu ni ada pulak yang nak tempah lagi 2 buah.. Alhamdulillah, tempahan pun dah siap dan pelanggan pun dah ambil tempahan mereka. Harap-harap menetaslah telur-telur ayam mereka., InsyaAllah..

Kepada pelanggan yang telah menempah inkubator diharap anda berpuashati dengan hasil kerja tangan saya. Jadi disini saya kongsikan inkubator yang telah saya buatkan untuk pelanggan yang dah membuat tempahan. Jom layan mata....








Tuesday, March 06, 2012

Pinjaman Perniagaan @ Penternakan..

Salam untuk semua pembaca..

Agak lama juga RAE tidak update blog ini.. Bukannya apa, cuma tiada cerita menarik yang hendak dikongsikan bersama dalam blog ini. Untuk entry kali ini, RAE hendak cerita sedikit tentang perkara yang sering menjadi masalah kepada kita yang baru menceburkan diri dalam kerjaya sebagai penternak atau peniaga iaitu masalah untuk mendapatkan modal permulaan.

Ramai orang yang berminat mahu berniaga dan sangat ingin memulakan perniagaan. Namun niat tersebut sering terhalang akibat faktor tiada modal untuk memulakannya. Justeru, ada yang mengambil jalan untuk bekerja makan gaji untuk mengumpulkan modal dan ada juga yang meminjam daripada ibubapa, adik beradik, saudara mara serta rakan-rakan.

Persoalannya, adakah yang sudi meminjamkan wang mereka kepada kita? Pada zaman sekarang ini, masihkah ada yang sanggup mengorbankan wang simpanan sendiri untuk orang lain? Jawapan ADA!! hanya ibubapa kita sahaja yang sanggup berbuat demikian. Itu pun jika mereka berkemampuan.. Adik beradik juga ada yang sanggup berikan, tetapi memang susah nak cari sekarang ni..

Jalan mudah dan paling senang untuk mendapatkan pinjaman kini adalah melalui AH LONG.... RAE menasihatkan pembaca janganlah sesekali mencari Ah Long walaupun anda telah hampir berputus asa untuk mencari saluran bagi mendapatkan pinjaman modal untuk perniagaan anda. Di sini RAE ingin kongsikan beberapa tips atau panduan sebagai persediaan untuk anda mendapatkan modal memulakan perniagaan.
  1. Buat perancangan yang teliti dan tepat mengenai perjalanan perniagaan yang bakal anda jalankan. Ianya merangkumi kesemua aspek daripada tapak berniaga, penyediaan prasarana, penyediaan bahan mentah, proses penyediaan bahan siap, bahan siap, jualan, promosi, strategi perniagaan dan sebagainya.
  2. Buat anggaran kos bagi kesemua perkara-perkara yang ditunjukkan di atas. Anggaran yang dibuat juga hendaklah berdasarkan kajian pasaran terkini dan bukannya yang 'main agak-agak'.
  3. Rancangan perniagaan anda ini juga sebolehnya dibuat dalam bentuk kertas kerja yang lengkap yang disampaikan dengan jelas.
  4. Carilah seorang mentor yang akan dapat membantu anda untuk memulakan perniagaan. Contohnya jika anda mahu berniaga nasi lemak, carilah peniaga nasi lemak kerana anda akan dapat mempelajari serba sedikit pengalaman dalam menjual nasi lemak dan insyaAllah dia juga akan membantu anda untuk memberi pendahuluan bagi memulakan perniagaan.
Kertas kerja yang disediakan bolehlah ditunjukkan kepada mentor anda nanti untuk ditokok tambah (jika perlu). Kesungguhan anda untuk berniaga dan berjaya juga akan dapat dilihat daripada kertas kerja yang disediakan. Tahap ilmu penngetahuan anda juga akan dapat dilihat melaluinya.

Setelah anda berjaya memulakan perniagaan dan perlukan modal tambahan untuk membesarkan lagi perniagaan anda, bolehlah gunakan kertas kerja yang telah siap dibuat dan hantarkan ke saluran-saluran kerajaan seperti yang dipaparkan disebelah kiri blog ini. 

Semoga ilmu yang tidak seberapa ini anda akan dapat manafaatkannya. Sebarang pertanyaan atau perlukan bimbingan bolehlah menghubungi RAE ditalian seperti yang dipaparkan.

Maaf jika apa yang dipaparkan di atas tidak menyamai atau tidak sependapat dengan anda. Cerita yang dikongsikan di atas adalah melalui pengalaman RAE sendiri. Sekian, wassalam...

Wednesday, February 22, 2012

Jom ke laman web RAE!!!

Sukacitanya dimaklumkan laman web Rashdan Aris Enterprise telahpun siap dibina dan boleh layari dengan klik link (disini.)

Terdapat pelbagai maklumat mengenai aktiviti penternakan yang dijalankan oleh RAE. Terdapat juga pelbagai maklumat tambahan mengenai pelbagai bidang perniagaan daripada rakan niaga di seluruh Malaysia boleh dikongsi bersama serta tips-tips menjalankan perniagaan kecil-kecilan @ perniagaan dari rumah.

Sila layari http://sites.google.com/site/rashdanenterprise/ untuk bertia lanjut.

Saturday, January 07, 2012

Ternak Puyuh - Percubaan Menternak Melalui Kaedah Sangkar Bertingkat (Bhg. 2)

Salam semua...

Maaf sebab lambat post bahagian ke-2 Percubaan Menternak Melalui Kaedah Sangkar Bertingkat.. Dalam bahagian ke-2 ni saya nak menceritakan apakah masalah yang saya hadapi semasa melakukan percubaan ini. 

Pada mulanya saya perhatikan yang anak-anak puyuh berada dalam keadaan yang selesa berikutan tanda-tanda seperti kedudukannya yang berselerakan dalam sangkar. Dalam 1 jam pertama keadaan nampak terkawal dan anak-anak puyuh buat pertama kalinya memakan dedak yang diberikan. Tidak ketinggalan juga yang mula mengenal bekas minuman dan mula meminum air. Maklumlah, baru keluar dari mesin inkubator... hehe.

Memasuki jam ke-3 dalam sangkar bertingkat, keadaan mula menampakkan perubahan di mana kelihatan anak-anak puyuh mula berhimpit-himpit sesama sendiri berdekatan dengan mentol lampu. Ini adalah kerana waktu telahpun menunjukkan jam 7 petang. Perkara yang lebih membimbangkan ialah mereka mula menindih diantara satu sama lain yang mana faktor inilah punca kematian akan berlaku. Dengan pantas saya mula memasang kanvas membaluti sangkar bertingkat supaya haba akan terperangkap di dalam dan anak-anak puyuh akan berasa lebih selesa.

Dalam 30 minit berikutnya, didapati anak-anak puyuh sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan kembali berselerakan di dalam ruang sangkar. Ada yang sedang makan dan ada juga yang sedang minum. Kelihatan juga ada yang sudah mula pandai mengais-ngais makanan dan semuanya nampak Ok!

Keesokkan harinya, seawal jam 6 pagi saya sudah mula menjenguk keadaan sangkar. Alhamdulilllah jumlah anak yang mati hanyalah kurang daripada 5 ekor. Yang terkorban adalah anak-anak puyuh yang kurang cergas dan awalnya kelihatan lemah. Namun, menjelang jam 10 pagi didapati masih ada lagi anak puyuh yang mati. Kali ini jelas menunjukkan kematian anak-anak puyuh berlaku, sebabnya:-
  1. kelihatan sejumlah anak puyuh mati tersangkut di jaring
  2. mati terhimpit disudut-sudut
  3. mati terlalu hampir dengan lampu
  4. mati terkangkang dengan keadaan kaki yang lurus
Dari pemerhatian yang dijalankan punca-punca kematian telah dapat dikenalpasti. Antara puncanya:-
  1. Kesilapan teknikal - kedudukan lampu yang tidak sesuai
  2. Kepungan tidak dipasang
  3. Alas lantai yang tidak sepenuhnya
Tindakan drastik telah diambil dengan memasang kepungan menggunakan kotak, meletakkan lampu ditempat yang sesuai dan memperkemaskan alas lantai agar kaki anak puyuh tidak termasuk @ tersepit dijaring lantai. Alhamdulillah, setelah 3 hari berlalu kadar kematian semakin berkurangan. Memasuki hari ke-5, tiada kematian dicatatkan dan saya berasa lega dengan keadaan ini. Kadar kematian keseluruhan berdasarkan pungutan bangkai anak puyuh berjumlah  15 ekor bersamaan kurang daripada 10% daripada jumlah asal sebanyak 212 ekor.

Hari demi hari berlalu dengan pantas dan tamatlah tempoh perindukan selama 10 hari. Apa yang mengejutkan saya, pada hari ke-11 tumbesaran anak puyuh seolah terbantut. Saiznya seperti baru berumur 6-7 hari walaupun bulu pelepah sudah memenuhi badan. Saiz sepatutnya sudah sebesar penumbuk lelaki dewasa, namun kelihatan kesemua anak puyuh menghadapi masalah yang sama iaitu terbantut dan saiz yang tidak sekata.

Melalui pengalaman rakan-rakan ternak yang dihubungi mendapati masalah sedemikian terjadi kerana 2 sebab, iaitu makanan yang diberikan tidak sesuai atau bekas makanan yang digunakan juga tidak sesuai. Lantas saya menukar bekas makanan terlebih dahulu kerana piring yang saya jadikan bekas makanan anak puyuh sudah tidak lagi sesuai digunakan. Didapati dedak yang dikais oleh anak puyuh bertaburan dan terkeluar daripada sangkar. Ini menunjukkan makanan habis disebabkan terbazir jatuh ke bawah dan bukan kerana dimakan oleh anak puyuh walaupun kadar makanan yang diberikan adalah mencukupi mengikut kiraan pemberian makanan.

Setelah tindakan menukar bekas makanan dilakukan, barulah prestasi tumbesaran anak-anak puyuh dapat dilihat dengan cepat dan dalam masa 7 hari sahaja saiznya telahpun meningkat 100% berbanding semasa berumur 11 hari. Dalam tempoh penternakan selama 35 hari, saya telah menggunakan 100 kg dedak yang mana ianya telah melebihi kos pengeluaran sebenar seperti kebiasaannya yang memerlukan hanya 84 kg untuk menternak 200 ekor puyuh.

Walaupun ianya telah melebihi had yang sepatutnya, saya masih lagi berpuashati kerana percubaan menternak melalui kaedah sangkar bertingkat ini boleh dikatakan berjaya kerana keseluruhan peratusan kadar kematian adalah sekitar 20% (ada anak puyuh yang 'hilang', mungkin terkeluar semasa kecil sebelum kepungan dipasang) dan hasil jualan selepas menternak selama 35 hari masih lagi boleh mendatangkan keuntungan (boleh cover modal pengeluaran).

Jom cuci-cuci mata tengok gambar kat bawah..... :-)











Monday, December 19, 2011

Ternak Puyuh - Percubaan Menternak Melalui Kaedah Sangkar Bertingkat (Bhg. 1)

Salam semua..

Dalam entry kali ni, cuma nak kongsi kaedah yang boleh digunakan untuk menternak puyuh bagi penternak-penternak yang mengalami masalah kekurangan modal dan kekangan tempat (tiada tapak / tanah untuk menjalankan aktiviti penternakan). Sebelum ini kita biasa melihat dan mendengar beberapa kaedah yang digunakan oleh penternak puyuh seperti menggunakan kaedah Kotak Perindukan dan Lantai Bersarap. Di sini saya ingin berkongsi pengalaman menternak puyuh menggunakan kaedah Sangkar Bertingkat di mana saya telahpun mempraktikkannya baru-baru ini.

Kaedah ini didapati sesuai bagi yang ingin menternak puyuh, tetapi tidak mempunyai modal yang mencukupi untuk membina bangsal atau yang menghadapi kekangan tempat / tapak untuk menjalankan aktiviti penternakan. Bagi yang berminat untuk menternak dalam skala yang sedikit juga boleh mempraktikkan kaedah ini yang didapati sangat sesuai. Saya telah mencuba menternak 200 ekor puyuh dengan menggunakan kaedah ini sebagai ujian. Berikut adalah pelan Sistem Sangkar Bertingkat serta senarai bahan binaannya:-

  1. Kayu 2" X 1"
  2. Jaring Dawai BRC (mata punai)
  3. Playwood / Zink untuk dijadikan penutup
  4. Lampu untuk memanaskan anak puyuh secukupnya
  5. Kain kanvas untuk menutup keliling reban ketika waktu malam




Dibawah adalah gambar-gambar semasa proses membuat sangkar bertingkat.

 Susun rangka dan cantumkan semuanya.


Rangka sebelah yang sudah siap dipaku. Lakukan langkah yang sama untuk bahagian ke-2 pula.











Setelah siap bahagian ke-2, cantumkan sedua-dua bahagian dan dapatkan hasil seperti dalam gambar.












Langkah seterusnya pasangkan lantai dari Dawai jaring BRC 2cm X 2cm.

















Lantai perlu dipasang dengan kemas dan cukup tegang. Lantai yang dipasang dengan tidak kemas akan mudah rosak apabila puyuh serta bekas minuman dan makanan dimasukkan.









Pasangkan dinding pembahagi di bahagian dalam terlebih dahulu sebelum memasang dinding bahagian luar.










Pasangkan lampu untuk membekalkan haba yang cukup untuk anak puyuh. Lantai jaring juga perlu dilapik dengan kotak untuk memudahkan anak puyuh bergerak.









 Anak puyuh yang telah dimasukkan terus duduk berhampiran lampu untuk memanaskan tubuh badan. Penggunaan lampu 24 jam tanpa henti untuk tempoh perindukan selama lebih kurang 10 hari.









Selain kotak, lantai reban juga boleh dimuatkan dengan sarap untuk membantu anak-anak puyuh memanaskan badan.










 Hasil reban bertingkat yang telah berjaya disiapkan dan ujian nyalaan lampu dilakukan sebagai persediaan sebelum kemasukan anak puyuh.




 Anak puyuh pada hari pertama..

Kelihatan anak-anak puyuh berada dalam keadaan yang selesa. Ini menunjukkan yang suhu dibekalkan adalah mencukupi dan ruang yang sesuai.









Monday, November 28, 2011

Info Penternakan Itik Telur


DI MANA TERDAPAT PERUSAHAAN ITIK TELUR?

Negeri-negeri utama pengeluar telur itik ialah Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Bagi negeri-negeri Kedah dan Perlis, perusahaan itik telur banyak didapati di kawasan yang berhampiran dengan pantai dan sawah padi. Laut yang berdekatan akan membekalkan ikan baja untuk sumber protien kepada itik telur dan beras hancur pula merupakan sumber tenaga yang mudah didapati bagi penternakan yang berdekatan dengan sawah padi.

Penternakan yang tidak duduk berdekatan dengan pantai dan sawah padi boleh juga menternak itik telur ini. Pada masa sekarang makanan komersial yang lebih baik mudah diperolehi. Malah penternak juga boleh membuat makanan itik telur mereka sendiri.

ADAKAH KOLAM AIR MESTI DISEDIAKAN UNTUK MEMELIHARA ITIK TELUR?

Itik telur memerlukan air yang secukupnya untuk minum tetapi kolam air tidak diperlukan.

BAKA-BAKA ITIK TELUR YANG SESUAI DAN PENGELUARANNYA

Terdapat beberapa baka itik telur yang sesuai dipelihara oleh penternak-penternak. Baka dan pengeluaran telur bagi itik-itik telur tersebut adalah seperti di Jadual 1.
JADUAL 1: BAKA DAN PENGELUARAN ITIK TELUR
Baka
Berat Telur (gm)
Bil. Telur setahun (52 minggu)
Khaki Campbell Kacukan (Thailand)
70
260 - 274 biji
Kortlang Khaki Campbell (U.K.)
70
300 - 320 biji
Indian Runner
70
250 - 275 biji
Cherry Valley C2000
75
275 - 280 biji
Itik Jawa
65
180 - 200 biji

DARI MANA BAKA-BAKA ITIK TELUR INI BOLEH DIPEROLEHI?

Pada masa sekarang terdapat dua (2) sumber utama yang dapat membekalkan anak itik telur pada penternak iaitu:
v  Pembekal yang mengimport anak itik telur dari luar negera seperti dari negera Thailand.
v  Pusat penetasan anak itik telur tempatan seperti Jabatan Perkhidmatan Haiwan, melalui Pusat Latihan Ternakan di Sungai Siput (Utara) ada memelihara induk baka itik telur dan mempunyai unit penetasan yang mampu mengeluarkan anak itik telur dari baka Khaki Campbell.

BERAPAKAH HARGA SEEKOR ANAK ITIK ?

Harganya berbeza-beza. Biasanya di dalam lingkungan RM 0.80 – RM 2.00 seekor. Harga anak itik telur daripada Pusat Latihan Ternakan, Sungai Siput hanya RM 1.50 seekor dan hanya anak itik betina saja akan dibekalkan kepada penternak.
Pastikan anak itik yang terdiri daripada baka yang baik sahaja digunakan walaupun anda terpaksa membayar dengan harga yang mahal sedikit.
Anak itik yang murah adalah anak itik yang berkualiti rendah dan tidak akan mengeluarkan telur seperti yang dijangkakan.

ADAKAH ANAK ITIK BERUMUR SEHARI MEMERLUKAN API / LAMPU?

Pengurusan anak itik yang baru sampai adalah hampir sama seperti memelihara anak ayam berumur sehari. Api / lampu hendaklah dihidupkan disebelah malam sehingga 10 hari untuk memanaskan badan anak itik tersebut.

APAKAH PANDUAN SEMASA MEMBERI MAKANAN KEPADA ITIK TELUR?

Pada peringkat anak sehingga minggu ke-20, makanan komersial yang seimbang adalah digalakkan. Makanan yang seimbang akan menggalakkan pertumbuhan badan itik dan itik-itik akan bertelur pada masa yang dijangkakan. Ada penternak yang hanya memberi sisa nasi dan dedak padi pada masa ini. Pemberian makanan cara ini didapati tidak sesuai.

Bagi itik yang sedang bertelur, makanan yang sering diberikan terbahagi kepada 3:
Ø  Makanan tradisional - dedak padi, beras hancur dan ikan baja.
Ø  Makanan campuran sendiri - penternak mencampurkan bahan-bahan mentah mengikut sukatan-sukatan tertentu seperti Hampas Kacang Soya, Beras Hancur, Serbuk Ikan dan lain-lain sebelum diberikan kepada itik yang sedang bertelur.
Ø  Makanan komersial - makanan ini dibeli di kedai pembekal makanan ayam, itik dan boleh digunakan terus kepada itik telur.

MENGAPA MAKANAN ITIK TELUR BERSUKAT?

Makanan yang diberi kepada itik telur mesti bersukat atau ditimbang terlebih dahulu. Makanan yang tidak mencukupi akan membantutkan pembesaran itik telur. Itik yang kurang makanan lambat besar dan tidak bertelur pada masa yang dijangkakan. Jika bertelur pun pengeluarannya adalah rendah.

Itik yang terlalu banyak menerima makanan pula akan terlalu cepat membesar. la akan bertelur terlalu awal, tetapi pengeluarannya rendah dan saiz telur adalah kecil. Itik-itik yang bertelur terlalu awal akan cepat berhenti daripada bertelur. Secara am, itik akan mula bertelur apabila telah mencapai berat badan 1.8 - 2.1 kg.

BAGAIMANA MENDAPATKAN BERAT BADAN ITIK YANG SEIMBANG?

Selain daripada pemberian makanan yang bersukat, bekas makanan mestilah mencukupi. Cara mudah untuk mengetahui luas bekas makanan yang mencukupi atau tidak ialah dengan cara melihat itik-itik tersebut semasa diberi makan. Jika semua itik boleh makan serentak apabila diberi makanan, luas bekas makanan tersebut adalah baik dan mencukupi. Sentiasa tambah panjang bekas makanan itik anda kerana itik yang telah besar memerlukan keluasan bekas makanan yang lebih besar.

Berat badan itik sering tidak seimbang terutama diperingkat anak dan ini berlaku apabila keluasan bekas makanan dan makanan yang tidak mencukupi. Tangkap anak-anak itik yang kecil dan asingkan dari yang telah besar. Tambah makanan 10-20 gm sehari untuk 1 - 2 minggu bagi anak itik yang kecil sehingga ia sama besar dengan kumpulan asalnya. Apabila beratnya telah seimbang dengan kumpulan itik yang tidak bermasalah, berilah kuantiti makanan yang sama seperti yang telah dijadualkan.

Jadual makanan itik telur yang teratur boleh didapati daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan yang terdekat dengan anda.

JIKA SAYA INGIN MENGGUNAKAN MAKANAN KOMERSIAL, APAKAH JENIS-JENIS YANG BOLEH SAYA GUNAKAN?

ü  Duck Starter Crumble 1 hari - 3 minggu.
ü  Duck Grower Pellet 4 minggu - 15 minggu
ü  Duck Layer Pellet 16 minggu ke atas.

JIKA SAYA INGIN MENCAMPUR /MEMBUAT MAKANAN ITIK SAYA SENDIRI, DARI MANA SAYA BOLEH PEROLEHI FORMULANYA?

Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri atau Unit Ayamitik di Ibu Pejabat Perkhidmatan Haiwan, Kuala Lumpur ada menyimpan beberapa formula yang sesuai untuk tujuan tersebut. Sila hubungi pihak kami untuk mendapatkan formula tersebut.

BERAPA BANYAKKAH SEEKOR ITIK TELUR YANG SEDANG BERTELUR MAKAN SEHARI?

Jika anda menggunakan makanan yang kering seperti makanan komersial, seekor itik telur memerlukan 140 - 160 gm sehari. Jika makanan tersebut telah dibancuh dengan air, ia mestilah sekurang-kurangnya 175 - 200 gm sehari.

BILA ITIK TELUR MULA BERTELUR?

Itik yang menerima makanan yang secukupnya melalui sukatan yang ditetapkan akan mula bertelur pada minggu ke-18 atau ke-19. Jika makanan tidak cukup, ia tidak bertelur walaupun telah berumur 25 minggu. Tetapi jika makanan terlalu berlebihan, ia akan bertelur lebih awal walaupun hanya baru berumur 14 – 16 minggu.

BERAPA LAMA ITIK BERTELUR?

Ada penternak yang menyimpan itik mereka sehingga 3 tahun. Waktu bertelur yang paling sesuai adalah dalam lingkungan 2 tahun. Itik yang terlalu tua tidak boleh mengeluarkan telur yang menguntungkan.

JIKA KULIT TELUR ITIK KOTOR, BOLEHKAH DICUCI DENGAN AIR?

Tidak boleh! Kulit telur mempunyai rongga yang halus yang akan membolehkan air dan kuman bakteria masuk ke dalam telur. Ini akan menyebabkan mutu telur itik menurun.
Untuk mengelakkan kulit telur menjadi terlalu kotor, pastikan lantai reban dan bekas bertelur mestilah bersih dan kering.

SISTEM PERUMAHAN BAGI ITIK TELUR

Terdapat dua sistem perumahan yang boleh dijalankan oleh penternak. Sistem pengurusan yang intensif memerlukan sebuah reban di mana itik telur tidak keluar daripada reban tersebut.
Bagi pengurusan yang separa intensif, itik telur dikurung di dalam reban pada sebelah malam dan dilepaskan di kawasan lapang di luar reban yang berpagar. Sistem ini adalah lebih sesuai bagi pentenak yang ingin menjalankan projek tenakan itik telur.

BERAPA LUAS LANTAI / TAPAK UNTUK REBAN TELUR ITIK?

Kawasan yang diperlukan adalah mengikut sistem pengurusan yang diamalkan. Secara am, sistem intensif boleh memuatkan bilangan itik telur yang lebih tinggi bagi setiap meter persegi jika dibandingkan dengan sistem separa intensif. Jadual 2 menunjukkan keluasan reban yang diperlukan bagi penternakan itik telur.

Jadual 2: Keluasan Reban Itik Telur
Sistem
Perumahan
Umur Itik Telur
1 hari hingga 4 minggu
5 minggu hingga 20 minggu
20 minggu ke atas
Intensif
10 ekor / m²
6 ekor / m²
4 - 5 ekor / m²
Separa Intensif
8 ekor / m²
7 ekor / m²
2 - 3 ekor / m²
Bagi Penternak yang mengamalkan sistem separa intensif, reban beratap yang luasnya 7m x 20m dengan kawasan luar yang berukuran 14 m x 20 rn adalah sesuai untui 500 - 600 ekor itik.

BAGAIMANA MENJAMIN KULIT TELUR VANG BERSIH?

Bekas atau tempat bertelur hendaklah bersih, kering dan mencukupi untuk itik bertelur. Jika sarap dari habuk papan atau sekam padi digunakan di dalam bekas bertelur buang sarap yang basah dan gantikan dengan yang kering. Ukuran bekas untuk bertelur ialah 40 cm X 41 cm X 30 cm dan satu bekas sesuai untuk 5 ekor itik.
Selain daripada itu, kawasan reban hendaklah dibersihkan selalu daripada sampah sarap dan najis itik agar ia sentiasa bersih dan kering.

DI MANAKAH TELUR ITIK BOLEH DIPASARKAN?

Menjual telur itik sepatutnya tidak ada apa-apa masaalah, jika mutu adalah baik kerana selain daripada menjual sendiri, FAMA ada membeli telur itik, terutama di kawasan utara, iaitu di negeri Kedah dan Perlis.

APAKAH FAKTOR-FAKTOR YANG DIAMBIL KIRA SEMASA PENJUALAN TELUR ITIK.

Bagi telur itik, berat dan warna kuning telur adalah faktor yang penting. Telur itik yang beratnya 65 gm ke atas dan warna kuning telur yang merah akan mendapat harga yang tinggi jika dibandingkan dengan telur yang beratnya rendah dan warna kuning telurnya yang pucat. Lain-lain faktor yang diambil kira ialah kebersihan dan kualiti kulit telur itik tersebut.

BAGAIMANA KUNING TELUR BOLEH DIMERAHKAN?

Bagi pentenak yang membuat makanan itik telur mereka sendiri, kulit udang sering dicampurkan. Kulit udang mengandungi sejenis bahan pewarna yang dikenali sebagai xanthophyll dan ia boleh memberi warna merah kepada kuning telur. Kulit udang adalah sukar untuk diperolehi. Namun pewarna sintetik juga digunakan. Pewarna tersebut dikenali sebagai "corophyll".

BAGAIMANA WARNA KUNING TELUR DITENTUKAN?

Telur itik akan dipecahkan dahulu untuk melihat kuning telur. Kuning telur tersebut pula dibandingkan dengan kipas pewarna Roche (Roche's colour Fan). Kuning telur yang pucat mempunyai bacaan 1 - 12. Bacaan 13 - 15 adalah bagi kuning telur yang merah.

BAGAIMANA MEMPEROLEHI "CAROPHYLL"?

Kedai-kedai atau agen membekal makanan itik ada menjual bahan pewarna tersebut. Jika terdapat sebarang masalah untuk membeli pewarna tersebut, sila hubungi Pejabat Perkhidmatan Haiwan yang berhampiran.

BAGAIMANA MENCAMPURKAN "CAROPHYLL" KE DALAM MAKANAN?

·         "Carophyll" ini mahal harganya iaitu di dalam lingkungan $360 - $390/kg. Penggunaannya adalah sedikit dan bergantung kepada warna telur itik yang sedang bertelur. Kebiasaannya 8 -12gm "carophyll" digunakan bagi setiap 100 kg. makanan.
·         Untuk mencampurkan "carophyll" ke dalam makanan, ambil carophyll yang diperlukan dan campurkan dengan 1 - 2 kg makanan. Gaul sama rata dan selepas itu, 5 kg makanan pula dicampur dengan campuran yang terdahulu. Ulang cara ini beberapa kali dengan menambah makanan ke atas campuran yang telah dicampur dengan carophyll.
·         Cara ini ialah untuk mendapatkan campuran makanan yang sebati dan benar-benar mengandongi carophyll.

SELAIN DARIPADA TELUR SEGAR, BAGAIMANA TELUR ITIK DIJUAL KEPADA ORANG RAMAI?

Telur asin dan telur abad adalah diantara telur itik yang telah diawet dan boleh didapati di kedai-kedai dan supermarket.

BAGAIMANA PULA DENGAN PENYAKIT ITIK?

Jika kebersihan reban dan air minuman dijaga dengan rapi, itik tidak mudah dihinggapi oleh penyakit-penyakit yang kebiasaannya mudah diperolehi oleh ayam. Itik juga lebih tahan dari tekanan persekitaran (environmental stress) jika dibandingkan dengan ayam, tetapi jika terdapat sebarang tekanan, pengeluaran telur akan berkurangan.
Sila dapatkan bantuan daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan yang berdekatan jika itik.telur anda didapati tidak sihat.

ADAKAAH MENTERNAK ITIK TELUR MENGUNTUNGKAN?

Ya. Kos mengeluarkan sebiji telur itik ialah dari 6 - 12 sen jika menggunakan makanan campuran sendiri. Purata pengeluaran telur itik sehari dianggarkan lebih kurang 60 - 65% daripada jumlah itik telur.
Jika penternak menggunakan makanan komersial, purata pengeluaran sehari ialah 70 - 75% dan kos pengeluaran sebiji telur adalah dalam lingkungan 10 - 14 sen/biji.
Harga sebiji telur itik gred A (melebihi 65 gm dan warna pada kipas Roche 14 - 15) ialah 15 - 18 sen/biji.

DI MANA SAYA HARUS PERGI UNTUK MENDAPATKAN KETERANGAN LANJUT?

Sila hubungi Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri yang berdekatan atau menulis terus kepada:
Unit Ayam Itik
Bahagian Pengeluaran
Ibu Pejabat Perkhidmatan Haiwan
Wisma Chase Perdana, Bukit Damansara,
Off Jalan Semantan
50630 Kuala Lumpur.

Kami berbangga kerana dapat berkhidmat demi kemajuan dan kemahiran anda.

Dirujuk daripada laman JPV.