Rashdan Aris Enterprise

Iklan....

Thursday, November 24, 2011

PANDUAN PENTERNAKAN PUYUH PEDAGING

Pendahuluan

Sebelum memulakan aktiviti penternakan, pengusaha perlu memilih baka yang sesuai untuk diternak. Untuk mengusahakan penternakan puyuh pedaging, baka yang paling sesuai untuk diternak ialah daripada baka IKTA yang merupakan baka tempatan. Puyuh IKTA berkaki pendek tetapi mempunyai badan yang besar (isi yang banyak). Beratnya boleh mencecah 300g dan boleh disembelih seawal umur 28 hari. 

Pemiharaan puyuh pedaging tidak memerlukan kawasan yang besar. Ini adalah kerana saiz puyuh jauh lebih kecil daripada unggas lain seperti ayam. Walaubagaimanapun keperluan penternakan adalah lebih kurang sama dengan penternakan ayam. Kawasan penternakan hendaklah mengikut perundangan negeri yang terlibat. Sebagai contoh, bagi negeri Johor penternakan puyuh memerlukan lesen mengikut keperluan Enakmen Industri Ternakan Negeri Johor. 

Didalam pemilihan tapak kawasan penternakan sebaiknya kawasan ladang hendaklah jauh dari kawasan perumahan dan ladang-ladang unggas yang lain. Kawasan hendaklah bebas daripada banjir dengan mempunyai kemudahan jalan bagi pengangkutan barangan dari luar ke ladang dan sebaliknya. Tanah berbukit tiada halangan kecuali perlu diratakan bagi setiap kawasan bangsal yang perlu didirikan. Kawasan yang mempunyai peredaran udara yang baik perlu diambil kira di dalam pemilihan kawasan.

Baka puyuh IKTA. 


Keperluan Bangsal / Reban 

Keperluan bangsal adalah tertakluk kepada kekerapan pengeluaran puyuh pedaging. Sebagai contoh, bagi pengusaha yang hendak mengeluarkan puyuh pedaging seminggu sekali keperluan bangsal hendaklah sekurang-kurangnya lapan buah. Ini berdasarkan sistem penternakan sekaligus masuk sekaligus keluar bagi setiap bangsal. Begitu juga bagi keperluan kawasan. Saiz bangsal untuk memuatkan 10,000 ekor puyuh adalah 10 meter lebar x 21 meter panjang dan 3.6 meter tinggi dengan luas kawasan pemeliharaan sekor sekitar 210 sentimeter persegi. Berikan jarak sekurangnya 15 meter antara 2 bangsal bagi peredaran udara yang baik disamping memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan. Kawasan penternakan perlu dipagar untuk mengelakan gangguan dari ternakan atau binatang lain. Puyuh mempunyai sifat terkejut dan 'excitability' yang boleh menjejaskan prestasi tumbesaran. 

Bagi penternakan puyuh pedaging pada lazimnya pengusaha menjalankan sendiri aktiviti sembelihan dan pemperosesan. Oleh yang demikian, pengusaha perlu mengadakan tempat / rumah pemprosesan sendiri. Kedudukan tempat ini hendaklah jauh dari kawasan penternakan. Saiz bangunan yang diperlukan adalah bergantung kepada jumlah sepusingan pengeluaran puyuh. Bilik sejuk atau peti sejuk diperlukan untuk penyimpanan stok puyuh yang telah siap diproses. 


Kaedah Penternakan 
  • Pemeliharaan anak-anak puyuh dari umur 1 hari hingga 10/14 hari memerlukan suhu panas sekitar 36°C - 37°C bersamaan dengan suhu yang diberikan oleh induk asli. Proses ini dikenali sebagai Proses Perindukan. 
Sangkar Bertingkat (Kotak Kayu Khas) 

Di dalam sistem pemeliharaan menggunakan kotak kayu khas, penyusunan kotak boleh dilakukan bertingkat-tingkat dan bertutup. Buat sedikit lubang udara untuk peredaran udara yang baik. Lantai kotak hendaklah dialas dengan kertas keras atau jenis 'corrugated paper'. Ini bagi mengelakkan anak puyuh jatuh ke tanah. Kotak kayu ditutup dengan plastik atau guni untuk mengekalkan haba di dalamnya. Sumber haba dari lampu pijar 100 watt yang digantung di tengah petak kotak sudah memadai untuk menghasilkan haba yang dikehendaki. Setiap petak berukuran 1 meter persegi boleh memuatkan sehingga 80 ekor anak puyuh. 

Peralatan untuk memberi makanan dan minuman dari jenis gantung dan penggunaan ‘nipple’. Bekas makanan yang digantung perlu dipastikan tidak terlalu tinggi. Dikhuatiri anak-anak puyuh akan menghadapi kesukaran untuk makan. Manakala penggunaan ‘nipple’ sangat efektif dan memudahkan dengan sambungan bekalan air secara automatik.

Kotak Kayu Khas. 


Lantai Bersarap 

Dalam sistem pemeliharaan di atas sampah sarap, proses perindukan dilakukan menggunakan sistem kepungan. Kepungan dibina menggunakan kadboard, playwood atau kepingan aluminium. Penggunaan hoover (pemanas) diperlukan dalam setiap kepungan. Sebanyak 1000 ekor anak puyuh boleh ditempatkan dalam satu kepongan. Luas kawasan semasa perindukan adalah 30 sentimeter persegi/ekor hingga mencapai umur 10 hari. Kepungan akan dibuka dan anak puyuh dibesarkan diseluruh bangsal selepas selesai proses perindukan. Gas hoover yang digunakan digantung ditengah kawasan kepungan setinggi 91 sentimeter. Pemberian haba perlu dikawal mengikut kepanasan semasa. Sekeliling bangsal perlu ditutup dengan bidai bagi mengelakkan kemasukan udara sejuk dari luar tanpa kawalan. 

Bekas minuman 8 liter untuk 200 ekor anak puyuh ditempatkan di dalam bulatan selama masa perindukan. Dulang makanan berukuran 30.5 x 30.5 x 2.52 sentimeter digunakan untuk 200 ekor anak puyuh semasa perindukan. Sampah sarap yang digunakan adalah dari jenis sisa ketaman kayu atau sekam padi dengan ketebalan 8 sentimeter. Makanan dan minuman diberi tanpa had untuk tumbesaran yang lebih cepat.

Lantai Bersarap. 


Tempoh Perindukan 

Tempoh perindukan ialah satu tempoh dimana anak-anak puyuh memerlukan perhatian yang lebih sepertimana berada di bawah jagaan induk sebenarnya. Dalam tempoh ini suhu persekitaran memainkan peranan yang sangat penting dimana anak puyuh terlalu sensitif dengan persekitaran yang sejuk. Haba panas perlu dibekalkan menggunakan nyalaan lampu atau hoover dengan suhu sekitar 36°C - 37°C sepanjang masa pada minggu pertama. Tempoh kritikal bagi anak-anak puyuh adalah ketika berumur 1 – 5 hari. Dalam tempoh ini, kadar kematian boleh mencapai 10% - 50%. Antara faktor utama yang menyumbang kepada kadar kematian yang tinggi ialah penjagaan yang tidak sempurna dan kegagalan pengurusan reban / bangsal. Berikut adalah antara sebab-sebab kematian anak puyuh:- 

(a) Kurang panas - Menyebabkan anak puyuh berhimpit-himpit dan mati tertindih. Suhu perindukan tidak mencapai tahap yang disyorkan, kerosakan hoover atau kemasukan angin sejuk tanpa kawalan. 

(b) Terlalu panas - Mati kerana Heat Stress. Terutama pada musim panas yang melepasi paras 33°C diwaktu tengahari. Kepungan kecil / sempit dari yang disyorkan. Kedudukan hoover yang terlalu rendah iaitu kurang dari 3 kaki. 

(c) Kesesakkan - Menempatkan bilangan anak puyuh yang tinggi / banyak dalam satu kepungan. Contoh untuk keluasan 1000 ekor diisi dengan 1500 ekor. 

(d) Lemas dan kesejukan – Anak puyuh termasuk ke dalam bekas minuman yang tidak diletak guli / batu kecil. Air tumpah di atas kertas alas yang menyebabkannya lembab dan kesejukan. 

(e) Terbantut pertumbuhan badan kerana salah bagi makanan. Makanan terlalu kasar. Bekas dulang makanan tak cukup contohnya 1 bekas untuk 300 ekor.

Kepungan mengikut kaedah Lantai Bersarap. 


Pengurusan Perindukan Sangkar Bertingkat (Kotak Kayu Khas) 

Alas lantai kotak dengan kertas Corrugated (kertas menggerutu) bagi menyerap air dan tidak licin. Kegunaan mentol 60-100 watt dapat membekalkan suhu yang sesuai untuk 3 hari pertama. Panaskan sangkar kotak 1 jam sebelum kemasukan anak puyuh. Kurangkan suhu beransur-ansur dari hari ke hari sehingga tidak diperlukan. Letakkan 1 dulang makanan 1'X1'X1' dan tutup diatas dulang makanan dengan jaring BRC 1 cm persegi mengikut ukuran dulang makanan untuk menghalang puyuh daripada mengais-ngais makanan. 

1 bekas minuman 4.5 liter dan guli kaca / batu kecil diletakkan dalam tadahan air untuk menghalang anak puyuh dari mati lemas. Isikan larutan antistress dalam bekas minuman. Tutup sangkar kotak guna kertas / guni / plastik terang. Suhu dalam sangkar kotak 36°C-37°C dikurangkan beransur-ansur setiap hari. Buka penutup kotak sedikit demi sedikit / tutup lampu perindukan / hoover semasa cuaca panas tengahari hingga awal petang. Pemberian haba akan berakhir pada hari ke 10-14. 


Pengurusan Perindukan Reban Lantai Bersarap 

Tutup sekeliling dinding bangsal dengan plastic / kanvas setinggi 3/4 bahagian dari paras lantai bangsal. 1/4 lagi dibiarkan terbuka untuk peredaran udara. Sediakan 1 bekas berisi larutan disinfectan diluar reban untuk mencelup kasut / but sebelum masuk ke dalam reban. Untuk 1000 ekor anak puyuh dalam reban / bangsal buat kepungan bulatan berukuran rentas 6.5 - 7 kaki
menggunakan 4 keping cadboard (playwood) / zink / alumunium (2.44m X 0.61m). 

Alas lantai dengan sisa ketaman kayu / jerami / sekam padi setebal 8 -- 10cm (3"-4") dan
gantung 1 hoover / infra red bulb sekurang-kurang 3 kaki dari paras sarap. Hoover 30.00 BTU pasang 1-2 jam sebelum memasukkan anak puyuh. Letakkan 5 bekas minuman 8 liter berisi larutan antistress. Letakkan guli kecil bagi mengelakkan anak puyuh dari lemas dalam air. 5 dulang makanan berukuran 30.48cm X 30.48cm X 2.54cm (1'X1'X1') diletakkan untuk mengisi makanan.


Maklumat Tambahan 

Masukkan anak puyuh dengan segera. Berikan larutan vitamin / antistress / glucose. Biarkan anak puyuh seketika dan lihat agar semuanya dalam keadaan selesa. Setelah anak puyuh selesa barulah tinggalkan reban sementara. Tempoh 1 minggu pertama, awasi keadaan anak puyuh sekerap mungkin siang dan malam untuk sebarang tanda-tanda yang tidak diingini. 

Kawalan haba ditentukan dengan memerhatikan posisi anak-anak puyuh yang berkumpul disebabkan kesejukan, berhimpit-himpit ke tepi disebabkan kepanasan & jika berselerak merata tempat bermakna suhu yang diberi adalah sesuai. Haba perlu dikurangkan jika anak puyuh menunjukkan tanda-tanda terlebih panas. Laraskan nyalaan hoover atau buka sedikit ruang udara yang menutupi kotak / dinding reban. 

Anak puyuh yang mati perlu dibuang segera, singkirkan yang cacat dan lemah atau asingkan ke tempat khas. Wujudkan sistem rekod keluar masuk puyuh untuk kiraan kos pengeluaran. Kepungan dibesarkan sedikit demi sedikit dan buka setelah mencapai umur 10/14 hari bagi penternakan sistem lantai bersarap. Penuhkan ruang lantai dengan sarap. Gantung palung air automatik dan palung makanan apabila puyuh mencapai umur 10 hari. Air minuman hendaklah diganti setiap hari dan bekas air perlu dicuci. Buangkan najis di atas makanan, gantikan makanan yang baru dan pastikan tidak berkulat. 


Peringkat Akhir Penternakan 

Masa tamat pemeliharaan adalah apabila umur puyuh mencapai 42 hari. Pada ketika ini berat badan hidup puyuh adalah purata 290 gram seekor. Puyuh akan ditangkap dan dihantar untuk diproses secepat mungkin. Perlu ditekankan disini bahawa kelewatan untuk menjual puyuh akan menyebabkan puyuh mencapai umur kematangan seksual (mengeluarkan telur) dan ini akan menjejaskan kualiti dagingnya. Lazimnya umur kematangan seksual adalah 45 hari.


Penghasilan Produk 

Apabila umur puyuh telah mencapai umur jualan maka puyuh hendaklah ditangkap dan dimuatkan ke dalam bakul untuk penghantaran ke tempat pemprosesan. Penangkapan perlu dijalankan dengan baik dan cermat untuk mengelakkan puyuh tercedera. Puyuh dewasa perlu dihentikan pemberian makanan sekurang-kurangnya 12 jam sebelum ditangkap dan disembelih. Cara ini bukan sahaja menjimatkan kos makanan tetapi menjamin pemprosesan yang bersih dari sisa makanan dan najis. Penangkapan hendaklah dijalankan dengan cepat dan elakkan puyuh terperanjat. Gunakan penghalang untuk memudahkan pekerjaan. Elakkan dari menendang dan membaling puyuh. Tangkap puyuh secukupnya dan dipegang dibahagian kaki puyuh. Muatkan kedalam bakul dengan memasuki kepala dahulu. Masukan secukupnya bilangan puyuh kedalam bakul dan elakkan dari kesesakan. 

Puyuh yang telah sampai ke tempat pemprosesan perlu diproses secepat mungkin. Bakul-bakul puyuh hendaklah ditempatkan di dalam kawasan khas yang disediakan untuk pemunggahan. Kebersihan perlu dijaga semasa melakukan penyembelihan. Keadah penyembelihan mengikut kehendak hukum Islam perlu dilaksanakan. Teknik penceluran dan pembuangan bulu dijalankan dengan baiknya untuk mengelakkan berlaku kerosakan ke atas karkas seperti patah kaki, koyak kulit atau hancur. Tentukan pembuangan isi perut dilakukan dengan sempurna sehingga bersih. Paru-paru mesti dikeluarkan. Puyuh yang siap diproses hendaklah dibasuh dengan sebersihnya dan disejukkan sebelum dibungkus. Pastikan keadaan kawasan sentiasa berada dalam keadaan bersih. Puyuh-puyuh yang telah siap dibungkus hendaklah disimpan di dalam peti sejuk beku sebelum dijual. 

Penyimpanan rekod pemeliharaan adalah penting bagi pengusaha untuk menganalisakan kejayaan atau kegagalan aktiviti penternakan. Rekod membantu pengusaha mengenalpasti kelemahan pengurusan dan tindakan serta merta boleh diambil apabila berlaku masalah.

1 comment:

  1. saya baru nak cuba menternak puyuh ni...tapi tempat yg sy nak ternak ni jauh dari kawasan berelektrik....lebih kurang 1000 meter dari elektrik...tapak lebih kurang 2 ekar,sumber air bukit...mcm mana pendapat saudara...

    ReplyDelete