Salam semua...
Maaf sebab lambat post bahagian ke-2 Percubaan Menternak Melalui Kaedah Sangkar Bertingkat.. Dalam bahagian ke-2 ni saya nak menceritakan apakah masalah yang saya hadapi semasa melakukan percubaan ini.
Pada mulanya saya perhatikan yang anak-anak puyuh berada dalam keadaan yang selesa berikutan tanda-tanda seperti kedudukannya yang berselerakan dalam sangkar. Dalam 1 jam pertama keadaan nampak terkawal dan anak-anak puyuh buat pertama kalinya memakan dedak yang diberikan. Tidak ketinggalan juga yang mula mengenal bekas minuman dan mula meminum air. Maklumlah, baru keluar dari mesin inkubator... hehe.
Memasuki jam ke-3 dalam sangkar bertingkat, keadaan mula menampakkan perubahan di mana kelihatan anak-anak puyuh mula berhimpit-himpit sesama sendiri berdekatan dengan mentol lampu. Ini adalah kerana waktu telahpun menunjukkan jam 7 petang. Perkara yang lebih membimbangkan ialah mereka mula menindih diantara satu sama lain yang mana faktor inilah punca kematian akan berlaku. Dengan pantas saya mula memasang kanvas membaluti sangkar bertingkat supaya haba akan terperangkap di dalam dan anak-anak puyuh akan berasa lebih selesa.
Dalam 30 minit berikutnya, didapati anak-anak puyuh sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan kembali berselerakan di dalam ruang sangkar. Ada yang sedang makan dan ada juga yang sedang minum. Kelihatan juga ada yang sudah mula pandai mengais-ngais makanan dan semuanya nampak Ok!
Keesokkan harinya, seawal jam 6 pagi saya sudah mula menjenguk keadaan sangkar. Alhamdulilllah jumlah anak yang mati hanyalah kurang daripada 5 ekor. Yang terkorban adalah anak-anak puyuh yang kurang cergas dan awalnya kelihatan lemah. Namun, menjelang jam 10 pagi didapati masih ada lagi anak puyuh yang mati. Kali ini jelas menunjukkan kematian anak-anak puyuh berlaku, sebabnya:-
- kelihatan sejumlah anak puyuh mati tersangkut di jaring
- mati terhimpit disudut-sudut
- mati terlalu hampir dengan lampu
- mati terkangkang dengan keadaan kaki yang lurus
Dari pemerhatian yang dijalankan punca-punca kematian telah dapat dikenalpasti. Antara puncanya:-
- Kesilapan teknikal - kedudukan lampu yang tidak sesuai
- Kepungan tidak dipasang
- Alas lantai yang tidak sepenuhnya
Tindakan drastik telah diambil dengan memasang kepungan menggunakan kotak, meletakkan lampu ditempat yang sesuai dan memperkemaskan alas lantai agar kaki anak puyuh tidak termasuk @ tersepit dijaring lantai. Alhamdulillah, setelah 3 hari berlalu kadar kematian semakin berkurangan. Memasuki hari ke-5, tiada kematian dicatatkan dan saya berasa lega dengan keadaan ini. Kadar kematian keseluruhan berdasarkan pungutan bangkai anak puyuh berjumlah 15 ekor bersamaan kurang daripada 10% daripada jumlah asal sebanyak 212 ekor.
Hari demi hari berlalu dengan pantas dan tamatlah tempoh perindukan selama 10 hari. Apa yang mengejutkan saya, pada hari ke-11 tumbesaran anak puyuh seolah terbantut. Saiznya seperti baru berumur 6-7 hari walaupun bulu pelepah sudah memenuhi badan. Saiz sepatutnya sudah sebesar penumbuk lelaki dewasa, namun kelihatan kesemua anak puyuh menghadapi masalah yang sama iaitu terbantut dan saiz yang tidak sekata.
Melalui pengalaman rakan-rakan ternak yang dihubungi mendapati masalah sedemikian terjadi kerana 2 sebab, iaitu makanan yang diberikan tidak sesuai atau bekas makanan yang digunakan juga tidak sesuai. Lantas saya menukar bekas makanan terlebih dahulu kerana piring yang saya jadikan bekas makanan anak puyuh sudah tidak lagi sesuai digunakan. Didapati dedak yang dikais oleh anak puyuh bertaburan dan terkeluar daripada sangkar. Ini menunjukkan makanan habis disebabkan terbazir jatuh ke bawah dan bukan kerana dimakan oleh anak puyuh walaupun kadar makanan yang diberikan adalah mencukupi mengikut kiraan pemberian makanan.
Setelah tindakan menukar bekas makanan dilakukan, barulah prestasi tumbesaran anak-anak puyuh dapat dilihat dengan cepat dan dalam masa 7 hari sahaja saiznya telahpun meningkat 100% berbanding semasa berumur 11 hari. Dalam tempoh penternakan selama 35 hari, saya telah menggunakan 100 kg dedak yang mana ianya telah melebihi kos pengeluaran sebenar seperti kebiasaannya yang memerlukan hanya 84 kg untuk menternak 200 ekor puyuh.
Walaupun ianya telah melebihi had yang sepatutnya, saya masih lagi berpuashati kerana percubaan menternak melalui kaedah sangkar bertingkat ini boleh dikatakan berjaya kerana keseluruhan peratusan kadar kematian adalah sekitar 20% (ada anak puyuh yang 'hilang', mungkin terkeluar semasa kecil sebelum kepungan dipasang) dan hasil jualan selepas menternak selama 35 hari masih lagi boleh mendatangkan keuntungan (boleh cover modal pengeluaran).
Jom cuci-cuci mata tengok gambar kat bawah..... :-)
No comments:
Post a Comment