Rashdan Aris Enterprise

Iklan....

Monday, April 09, 2012

Kerja-kerja Menaiktaraf Reban Puyuh.

Salam sejahtera untuk semua... Assalammualaikum..

Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi kerana dengan izinnya RAE Agrofarm berjaya juga mendapatkan suntikan dana untuk menjalankan usaha menternak puyuh ini. Semasa permohonan dibuat, RAE Agrofarm memohon sebanyak RM15,000 pada bulan Disember 2011 yang lalu, tetapi agak sedikit terkilan kerana kelulusan yang diberikan hanyalah sebanyak RM3,000 sahaja..

Walaupun rasa agak terkejut dengan keputusan ini, namun RAE Agrofarm tetap bersyukur dan akan cuba berusaha bagi menjayakan usaha penternakan seperti yang dirancang (kalau ikutkan memang tak boleh buat pun)..

Rancangan asal mengikut seperti dalam kertas kerja yang diusulkan nampaknya terpaksa diketepikan dahulu kerana masalah belanjawan yang dihadapi. Plan B terus dibuat dan akan dilaksanakan dengan kadar segera supaya RAE Agrofarm akan dapat melaksanakan rancangan asal seperti yang dirancang terlebih dahulu.

Apapun dengan dana yang diberi dapat jugalah RAE Agrofarm membina bangsal puyuh yang asalnya merupakan bangsal lembu yang tidak dihuni lagi. hehehe... Kerja pertama yang perlu dilakukan adalah menambak tanah di kawasan bangsal yang mana kawasan tersebut asalnya agak rendah dan menakung air.

Kos untuk 2 lori tanah yang digunakan sedah memakan belanja RM180. Upah pekerja memang tak dapatlah.. Terpaksalah pihak RAE Agrofarm melakukan kerja-kerja tersebut dengan sendiri. Jadi untuk peringkat pertama ni kerja menambak tanah dan meratakannya telahpun siap dikerjakan..

Seterusnya kenalah menunggu tanah tersebut betul-betul padat sebelum kerja membuat lantai simen dilakukan. Berikut ialah gambar-gambar yang sempat diambil.. Jom layan..

Asalnya bangsal ni bangsal lembu.. Tapi penghuninya telahpun dikorbankan 4 tahun lepas.. hehe

Tanah yang telah diratakan di dalam bangsal..

Reban mudah alih ini terpaksa ditempatkan sementara disini. Terdapat beberapa induk puyuh dan seekor ibu ayam kampung bersama anak-anaknya yang cute2 yang baru menetas.

Longgokan tanah yang digunakan untuk meninggikan kawasan bangsal.


Pandanga dari hadapan kawasan yang ditambak.

Saturday, April 07, 2012

Tetamu Berbisa Yang Tidak Diundang..

Salam untuk semua..

Lain yang hendak ditangkap, lain pula yang dapat.. Biasanya bubu ditahan untuk mendapatkan ikan puyu, haruan, sepat dan keli sawah. Tapi kali ini Sang Tedung pula yang masuk terperangkap!!

Seperti biasa, bapa mertua saya akan menahan bubu untuk dapatkan bekalan ikan segar untuk hidangan harian atau dibuat pekasam dan ikan kering. Memasuki bulan April ni hujan agak jarang turun dan padi pun belum ditanam. Biasanya dalam keadaan seperti ni tali air akan kering dan bubu tidak dapat dipasang.

Namun hujan lebat yang telah turun beberapa hari yang lalu telah menyebabkan tali air yang kering mula mengalirkan air semula. Justeru bubu dipasang dan telah berjaya memerangkap beberapa ekor ikan sawah seperti haruan dan puyu. Kelihatan juga sekumpulan anak ikan sepat kedah sebesar batang mancis turut berenang-renang mengikut arus air.

Tanpa disangka suatu petang seperti biasa bubu akan diangkat untuk memeriksa hasil tangkapan. Alangkah terkejutnya apabila Sang Tedung yang terperangkap di dalam bubu.. Ular Tedung Senduk yang sepanjang 1 meter yang terperangkap kelihatan kekenyangan dengan perutnya yang membulat. Entah berapa ekor ikanlah yang dia dah sebat..

Kerana terkejut dan panik, Sang Tedung pun meluahkan isi perutnya agar badannya ringan dan mudah untuk melarikan diri. Apa yang terkeluar daripada mulutnya bukanlah ikan hasil tangkapan bubu, tetapi merupakan seekor tikus yang besar. Oleh kerana spesis ini merupakan yang berbahaya dan sangat agresif, maka terpaksalah kami 'tidurkan' Sang Tedung ni..

Tindakan ini terpaksa diambil demi keselamatan diri dan ternakan.. So, tengoklah sendiri gambar yang sempat diambil.













Perkembangan Terkini RAE Agrofarm

Salam untuk semua pembaca..

Ikuti cerita dan perkembangan terkini RAE Agrofarm dengan klik disini. Saksikan juga gambar-gambar terkini ternakan yang diusahakan.

Wednesday, March 21, 2012

DIY Inkubator = Goreng Pisang Panas.

Salam untuk semua..

Tengok tajuk je dah semacam.. Inilah cerita terbaru RAE, sejak menggunakan inkubator buatan sendiri yang berjaya menetaskan telur-telur puyuh dan ayam kampung, ramai la pula rakan-rakan yang minta tolong buatkan inkubator yang sama untuk mereka. Ada yang nak bersaiz kecil, ada juga yang nak bersaiz besar.. Sehinggakan ada saudara mara mereka juga yang turut sama menempah inkubator ni.

Untuk tidak menghampakan permintaan orang, saya pun buatkanlah untuk mereka dan dijual dengan harga yang agak berpatutan. Nak jual mahal-mahal pun tak sampai hati.. yang nak guna pun untuk suka-suka je.. jadi saya pun buatkan jelah untuk mereka. Minggu lepas je dah 2 buah tempahan yang saya terima. Minggu ni ada pulak yang nak tempah lagi 2 buah.. Alhamdulillah, tempahan pun dah siap dan pelanggan pun dah ambil tempahan mereka. Harap-harap menetaslah telur-telur ayam mereka., InsyaAllah..

Kepada pelanggan yang telah menempah inkubator diharap anda berpuashati dengan hasil kerja tangan saya. Jadi disini saya kongsikan inkubator yang telah saya buatkan untuk pelanggan yang dah membuat tempahan. Jom layan mata....








Tuesday, March 06, 2012

Pinjaman Perniagaan @ Penternakan..

Salam untuk semua pembaca..

Agak lama juga RAE tidak update blog ini.. Bukannya apa, cuma tiada cerita menarik yang hendak dikongsikan bersama dalam blog ini. Untuk entry kali ini, RAE hendak cerita sedikit tentang perkara yang sering menjadi masalah kepada kita yang baru menceburkan diri dalam kerjaya sebagai penternak atau peniaga iaitu masalah untuk mendapatkan modal permulaan.

Ramai orang yang berminat mahu berniaga dan sangat ingin memulakan perniagaan. Namun niat tersebut sering terhalang akibat faktor tiada modal untuk memulakannya. Justeru, ada yang mengambil jalan untuk bekerja makan gaji untuk mengumpulkan modal dan ada juga yang meminjam daripada ibubapa, adik beradik, saudara mara serta rakan-rakan.

Persoalannya, adakah yang sudi meminjamkan wang mereka kepada kita? Pada zaman sekarang ini, masihkah ada yang sanggup mengorbankan wang simpanan sendiri untuk orang lain? Jawapan ADA!! hanya ibubapa kita sahaja yang sanggup berbuat demikian. Itu pun jika mereka berkemampuan.. Adik beradik juga ada yang sanggup berikan, tetapi memang susah nak cari sekarang ni..

Jalan mudah dan paling senang untuk mendapatkan pinjaman kini adalah melalui AH LONG.... RAE menasihatkan pembaca janganlah sesekali mencari Ah Long walaupun anda telah hampir berputus asa untuk mencari saluran bagi mendapatkan pinjaman modal untuk perniagaan anda. Di sini RAE ingin kongsikan beberapa tips atau panduan sebagai persediaan untuk anda mendapatkan modal memulakan perniagaan.
  1. Buat perancangan yang teliti dan tepat mengenai perjalanan perniagaan yang bakal anda jalankan. Ianya merangkumi kesemua aspek daripada tapak berniaga, penyediaan prasarana, penyediaan bahan mentah, proses penyediaan bahan siap, bahan siap, jualan, promosi, strategi perniagaan dan sebagainya.
  2. Buat anggaran kos bagi kesemua perkara-perkara yang ditunjukkan di atas. Anggaran yang dibuat juga hendaklah berdasarkan kajian pasaran terkini dan bukannya yang 'main agak-agak'.
  3. Rancangan perniagaan anda ini juga sebolehnya dibuat dalam bentuk kertas kerja yang lengkap yang disampaikan dengan jelas.
  4. Carilah seorang mentor yang akan dapat membantu anda untuk memulakan perniagaan. Contohnya jika anda mahu berniaga nasi lemak, carilah peniaga nasi lemak kerana anda akan dapat mempelajari serba sedikit pengalaman dalam menjual nasi lemak dan insyaAllah dia juga akan membantu anda untuk memberi pendahuluan bagi memulakan perniagaan.
Kertas kerja yang disediakan bolehlah ditunjukkan kepada mentor anda nanti untuk ditokok tambah (jika perlu). Kesungguhan anda untuk berniaga dan berjaya juga akan dapat dilihat daripada kertas kerja yang disediakan. Tahap ilmu penngetahuan anda juga akan dapat dilihat melaluinya.

Setelah anda berjaya memulakan perniagaan dan perlukan modal tambahan untuk membesarkan lagi perniagaan anda, bolehlah gunakan kertas kerja yang telah siap dibuat dan hantarkan ke saluran-saluran kerajaan seperti yang dipaparkan disebelah kiri blog ini. 

Semoga ilmu yang tidak seberapa ini anda akan dapat manafaatkannya. Sebarang pertanyaan atau perlukan bimbingan bolehlah menghubungi RAE ditalian seperti yang dipaparkan.

Maaf jika apa yang dipaparkan di atas tidak menyamai atau tidak sependapat dengan anda. Cerita yang dikongsikan di atas adalah melalui pengalaman RAE sendiri. Sekian, wassalam...

Saturday, March 03, 2012

Menangi Proton Inspira Dengan Dilengkapi Modem Yes 4G Network!!!

Jom masuk contest ni.. free je, bukan kena bayar.. untung2 boleh dapat kereta Proton Inspira siap dengan Yes 4G modem didalam!! memang terbaik la package ni..

Klik link ni untuk mendaftar.

Kereta yang bakal dimenangi!!

Wednesday, February 22, 2012

Jom ke laman web RAE!!!

Sukacitanya dimaklumkan laman web Rashdan Aris Enterprise telahpun siap dibina dan boleh layari dengan klik link (disini.)

Terdapat pelbagai maklumat mengenai aktiviti penternakan yang dijalankan oleh RAE. Terdapat juga pelbagai maklumat tambahan mengenai pelbagai bidang perniagaan daripada rakan niaga di seluruh Malaysia boleh dikongsi bersama serta tips-tips menjalankan perniagaan kecil-kecilan @ perniagaan dari rumah.

Sila layari http://sites.google.com/site/rashdanenterprise/ untuk bertia lanjut.

Saturday, January 07, 2012

Jom Ngail Bapak Keli...........

Musim cuti sekolah ni balik kampunglah kan.. Bila dah ramai-ramai ni, macam-macam lah ceritanya. Daripada hal kerja, ngumpat-ngumpat, sale sana sini (cerita kaum Hawa... hehe) sampailah bab makan-makan ni.

Sembang punya sembang tetiba ada plak yang nyebut nak makan ikan keli... Apa lagi, aku pun tanpa banyak cerita terus ambil joran kepunyaan mertua. Berumpankan dedak puyuh yang aku 'curik' ckit, lalu dibancuh dengan air dan sedikit tepung.. hehehe.. (sapa nak marah, sendiri jadi tokeh puyuh...)

Persiapan telahpun dilakukan, segala bekalan semuanya telah dibawa.. Aku pun mulakanlah perjalanan ke lubuk keli yang bersaiz raksasa seorang diri dengan berjalan kaki.. Kata ayah, keli kat lubuk tu semua besar2!! kalau ngail sekor pun dah cukup nak buat makan..

Sebaik sampai di lubuk yang diperkatakan, aku pun mula mencari port yang baek utk melabuhkan umpan. Dari riak air memang macam takda ikan, tapi ayah kata kat sinilah ikannya besaq2!! Ahh... hantam sajalah... tanpa membuang masa akupun mulalah membaca serapah sambil menggumpalkan dedak pada mata kail. Lepas ludah 3 kali kiri dan kanan, umpan pun dilontar ke air.. "Pllupp!" (dari bunyi umpan jatuh dah tau akan kena!!) hahahaha..... riak boto...

Dengan tak semena-mena air yang tenang tadi mula bergelombang.. Haaaaaa.......... dia mai dah.... Riak2 di air menunjukkan memang lubuk ni ada ikan yang besar2.. Tiba2, kelihatan tali pancing telah ditarik oleh makhluk air yang dah memang tau dia tu bapak keli. Aku pun... zzzaaaaasss!!!! ttuuppp!! ades.... tak kono.. cilako kau, makan main2 yo!! ekau tunggu situ! kata hati aku yang panas....

Mentera serapah yang aku belaja dari Majalah Ujang pun terus dibaca.. untung2 dapatlah aku bwk naik ikan ni. Sekali lagi umpan dilontar ke air.. "Peellup!!!" (peergh... bunyi mcm pelup-a.. hahahahha) Tak sampai 20 saat aku tunggu, tali pancing menegang dengan sangat perlahan... dengan kiraan 1.. 2.. 3.. heeeaaaahhhhhh!!! zaaaaasss!!! Peeeerrrrghhhhh............. dah kono... dah kono.... kan main bosa tekau!!

Ganeh amek2 dio tarik.. abih satu lubuk dio musing.. dengan kekuatan tali nylon 6 paun yang dah sizen, aku hanya mampu bertahan dari diasak oleh bapak keli nih!! setelah beberapa ketika aksi tarik menarik ni berlangsung, seperti seakan-akan aku yang akan berputih mata, aku hanya mampu bertahan dan bertahan.. makhluk air nih makin mengganas dan mengganas.. agaknya tak penah makan pancing kot.. hehe..

Dengan sepenuh nyawa aku bertahan... eh!! silap, ikan yang bertahan.. aku plak yang spoil tak bawak tangguk.. camna nak naikkan ikan 'gabak' nih?? cis!!! Terpaksalah aku mencari alternatif lain...

"A'kum.. Abg Din, sya dpt ikan besaq nih!! bwk penjauk kat telaga sat.. ikan ni tak bleh naik nih.. tali haluih!!" talian hayat yang terpaksa digunakan. Nasib baik aku bwk phone td. hehehe... Tak sampai seminit Abg Din (abg ipaq aku) pun sampai membawa penjauk (tangguk) dengan diekori anaknya Si Awan...

Jadi, nilah rupanya bapak ikan keli yang aku pancing dalam telaga pak mentua aku kat belakang umah je... hehehehe.... Selamat Menjamu Mata....








Ternak Puyuh - Percubaan Menternak Melalui Kaedah Sangkar Bertingkat (Bhg. 2)

Salam semua...

Maaf sebab lambat post bahagian ke-2 Percubaan Menternak Melalui Kaedah Sangkar Bertingkat.. Dalam bahagian ke-2 ni saya nak menceritakan apakah masalah yang saya hadapi semasa melakukan percubaan ini. 

Pada mulanya saya perhatikan yang anak-anak puyuh berada dalam keadaan yang selesa berikutan tanda-tanda seperti kedudukannya yang berselerakan dalam sangkar. Dalam 1 jam pertama keadaan nampak terkawal dan anak-anak puyuh buat pertama kalinya memakan dedak yang diberikan. Tidak ketinggalan juga yang mula mengenal bekas minuman dan mula meminum air. Maklumlah, baru keluar dari mesin inkubator... hehe.

Memasuki jam ke-3 dalam sangkar bertingkat, keadaan mula menampakkan perubahan di mana kelihatan anak-anak puyuh mula berhimpit-himpit sesama sendiri berdekatan dengan mentol lampu. Ini adalah kerana waktu telahpun menunjukkan jam 7 petang. Perkara yang lebih membimbangkan ialah mereka mula menindih diantara satu sama lain yang mana faktor inilah punca kematian akan berlaku. Dengan pantas saya mula memasang kanvas membaluti sangkar bertingkat supaya haba akan terperangkap di dalam dan anak-anak puyuh akan berasa lebih selesa.

Dalam 30 minit berikutnya, didapati anak-anak puyuh sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan kembali berselerakan di dalam ruang sangkar. Ada yang sedang makan dan ada juga yang sedang minum. Kelihatan juga ada yang sudah mula pandai mengais-ngais makanan dan semuanya nampak Ok!

Keesokkan harinya, seawal jam 6 pagi saya sudah mula menjenguk keadaan sangkar. Alhamdulilllah jumlah anak yang mati hanyalah kurang daripada 5 ekor. Yang terkorban adalah anak-anak puyuh yang kurang cergas dan awalnya kelihatan lemah. Namun, menjelang jam 10 pagi didapati masih ada lagi anak puyuh yang mati. Kali ini jelas menunjukkan kematian anak-anak puyuh berlaku, sebabnya:-
  1. kelihatan sejumlah anak puyuh mati tersangkut di jaring
  2. mati terhimpit disudut-sudut
  3. mati terlalu hampir dengan lampu
  4. mati terkangkang dengan keadaan kaki yang lurus
Dari pemerhatian yang dijalankan punca-punca kematian telah dapat dikenalpasti. Antara puncanya:-
  1. Kesilapan teknikal - kedudukan lampu yang tidak sesuai
  2. Kepungan tidak dipasang
  3. Alas lantai yang tidak sepenuhnya
Tindakan drastik telah diambil dengan memasang kepungan menggunakan kotak, meletakkan lampu ditempat yang sesuai dan memperkemaskan alas lantai agar kaki anak puyuh tidak termasuk @ tersepit dijaring lantai. Alhamdulillah, setelah 3 hari berlalu kadar kematian semakin berkurangan. Memasuki hari ke-5, tiada kematian dicatatkan dan saya berasa lega dengan keadaan ini. Kadar kematian keseluruhan berdasarkan pungutan bangkai anak puyuh berjumlah  15 ekor bersamaan kurang daripada 10% daripada jumlah asal sebanyak 212 ekor.

Hari demi hari berlalu dengan pantas dan tamatlah tempoh perindukan selama 10 hari. Apa yang mengejutkan saya, pada hari ke-11 tumbesaran anak puyuh seolah terbantut. Saiznya seperti baru berumur 6-7 hari walaupun bulu pelepah sudah memenuhi badan. Saiz sepatutnya sudah sebesar penumbuk lelaki dewasa, namun kelihatan kesemua anak puyuh menghadapi masalah yang sama iaitu terbantut dan saiz yang tidak sekata.

Melalui pengalaman rakan-rakan ternak yang dihubungi mendapati masalah sedemikian terjadi kerana 2 sebab, iaitu makanan yang diberikan tidak sesuai atau bekas makanan yang digunakan juga tidak sesuai. Lantas saya menukar bekas makanan terlebih dahulu kerana piring yang saya jadikan bekas makanan anak puyuh sudah tidak lagi sesuai digunakan. Didapati dedak yang dikais oleh anak puyuh bertaburan dan terkeluar daripada sangkar. Ini menunjukkan makanan habis disebabkan terbazir jatuh ke bawah dan bukan kerana dimakan oleh anak puyuh walaupun kadar makanan yang diberikan adalah mencukupi mengikut kiraan pemberian makanan.

Setelah tindakan menukar bekas makanan dilakukan, barulah prestasi tumbesaran anak-anak puyuh dapat dilihat dengan cepat dan dalam masa 7 hari sahaja saiznya telahpun meningkat 100% berbanding semasa berumur 11 hari. Dalam tempoh penternakan selama 35 hari, saya telah menggunakan 100 kg dedak yang mana ianya telah melebihi kos pengeluaran sebenar seperti kebiasaannya yang memerlukan hanya 84 kg untuk menternak 200 ekor puyuh.

Walaupun ianya telah melebihi had yang sepatutnya, saya masih lagi berpuashati kerana percubaan menternak melalui kaedah sangkar bertingkat ini boleh dikatakan berjaya kerana keseluruhan peratusan kadar kematian adalah sekitar 20% (ada anak puyuh yang 'hilang', mungkin terkeluar semasa kecil sebelum kepungan dipasang) dan hasil jualan selepas menternak selama 35 hari masih lagi boleh mendatangkan keuntungan (boleh cover modal pengeluaran).

Jom cuci-cuci mata tengok gambar kat bawah..... :-)